Info & Isu Semasa

Kenyataan Rasmi KKM Mengenai Kes Zika Ketiga Wanita Hamil di Malaysia

SITUASI TERKINI ZIKA (KES KETIGA) DI MALAYSIA 7 SEPTEMBER 2016

Pada 6 September 2016, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima satu laporan mengenai kes ketiga jangkitan Zika, yang merupakan seorang wanita berumur 27 tahun berbangsa Cina yang menetap di Taman Desa Harmoni, Johor Bharu.

Wanita tersebut hamil anak pertama dengan usia kandungan sekitar 3 – 4 bulan lebih. Pesakit mula mengalami gejala ruam, demam dan sakit badan pada 2 September 2016. Beliau telah mendapatkan rawatan di Hospital kerajaan pada 5 September 2016 Pada 6 September 2016, ujian pengesahan Zika adalah positif bagi wanita ini.

Hasil siastan KKM mendapati kali terakhir pesakit melawat ke Singapura adalah pada enam (6) bulan yang lalu. Namun begitu, suami pesakit berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Geylang, Singapura. Suami pesakit juga telah menunjukkan tanda-tanda jangkitan mulai 2 September 2016 dan kini telah dimasukkan ke wad untuk siasatan lanjut.

Pesakit yang hamil ini juga di bawah pengawasan Obstetrik dan Ginekologi untuk pemantauan berterusan terhadap ibu dan bayinya. Ibu beliau yang juga merupakan kontak kepada pesakit ini tidak menunjukkan sebarang simptom Zika, tetapi akan turut disaring.

Kawalan vektor telah dibuat dengan serta-merta di rumah kediaman pesakit dan kontak terdekat pesakit, selain semua kawasan yang pernah dikunjungi pesakit di Johor. Sehingga kini, 400 buah rumah telah diperiksa dan 450 premis telah disembur. Active Case Detection sedang dilaksanakan.

Pada masa ini, KKM menetapkan bahawa wanita hamil yang mempunyai tanda-tanda dan gejala jangkitan Zika serta disahkan positif, akan dimasukkan ke dalam wad. Selain itu, bagi wanita hamil yang tidak menunjukkan tanda-tanda dan gejala, tetapi mempunyai pasangan yang disahkan jangkitan Zika, ujian pengesahan Zika akan dijalankan terhadap wanita ini.

Pemantauan KKM mendapati bahawa sehingga 7 September 2016, jumlah kes Zika yang disahkan di seluruh negara adalah sebanyak tiga (3) kes. Kes pertama yang dilaporkan adalah merupakan kes import dari Singapura manakala kes kedua dan ketiga merupakan kes jangkitan tempatan yang dilaporkan di Sabah dan Johor.

Selain itu, pemantauan KKM juga mendapati daripada 1 September sehingga 6 September 2016, terdapat sebanyak 30 kes yang mempunyai tanda-tanda Zika namun kesemua mereka mempunyai keputusan ujian yang negatif.

KKM menasihatkan bagi wanita yang disahkan positif ujian Zika, mereka diminta untuk mengelakkan daripada mengandung dan mengamalkan seks selamat sekurang kurangnya 8 minggu dari tarikh didiagnosis. Manakala bagi lelaki yang disahkan positif Zika juga diminta mengamalkan seks selamat atau mengelakkan dari melakukan hubungan seks untuk tempoh 6 bulan.

Untuk mencegah perebakan jangkitan Zika di negara ini, KKM menyarankan agar semua pihak bekerjasama dan memainkan peranan menjalankan aktiviti menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu. Tiada Aedes, Tiada Zika dan Denggi.

YB DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
7 September 2016

Sumber: Facebook YB Datuk Seri Dr. S. Subramaniam

Kongsi pandangan anda